Tuesday, October 26, 2010

Sekadar Pandangan

Sudah lama lama saya membiarkan blog ini tak terurus kurang lebih hampir setahun.Walaupun begitu perasaan tidak selesa dan kejanggalan kerana membiarkan blog ini sebegini tetap menghantaui saya.Kekesalan dan rasa kecewa sering datang dan pergi bahkan dianggap sebagai pengkhianatan terhadap blog saya sendiri.Kemungkinan disebabkan tiadanya perancangan waktu dan keinginan memupuk rasa terhadap usaha penulisan menyebabkan terjadinya situasi sebegini.Entahlah saya sendiri tidak pasti di mana silapnya.Mungkin motivasi dan keinginan itu perlu dibelai mesra setiap masa dan menjadikan aktiviti kemaskini blog sebagai tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Sebenarnya tahun ini tumpuan saya terhadap aktiviti menulis agak terhad.Alasannya mulai januari tahun ini diberi kesempatan oleh Allah dan tawaran KPM untuk menambahkan ilmu dalam rangka mendapatkan sedikit nilai tambah terhadap kebolehan ikhtisas bagi penyebaran luas ilmu terhadap komuniti pendidikan. Saya ditempatkan di unit latihan KPM dan belajar sepehun masa di UKM dalam bidang penyelidikan pendidikan pengkhususan pengukuran dan penilaian.selain itu diberi sedikit hands on terhadap keperluan pembudayaan aktiviti penyelidikan di sekolah apabila KPM meminta saya menyiapkan tesis kajian tindakan.

Pada peringkat awal terasa amat berat amanah yang dipukul. maklumlah dah selesa berada di sekolah dan tengah bersemangat merangka dan melaksanakan modul-modul pembelajaran terhadap anak didik saya.Walauapapun begitu saya tempuh juga cabaran ini iaitu belajar dalam usia yang dianggap sudah hilang kemanisan dalam menguliti suasana kampus di mana pensyarahnya jauh lebih muda daripada saya sendiri. Saya terpaksa mengambil masa juga untuk sesuaikan rutin sebegini kerana sudah terbiasa dengan rutin kerja di sekolah terutama pengisian masa. Alhamdulilah setakat coretan ini dibuat saya bertuah kerana mendapat pertolongan daripada adik-adik yang jauh lebih muda daripada saya yang berkesanggupan untuk membantu. Minda mereka lebih segar dan hijau dengan kebolehterimaan isi pelajaran yang disampaikan dengan semangat yang berkobar-kobar.Sumbangsih mereka dalam membantu dan memberi tunjuk ajar amat saya hargai dan membolehkan saya terus berdiri di kampus UKM ini.

Semoga Allah terus memberi kekuatan fizikal , ketajaman fikiran dan spiritual serta motivasi berterusan dalam usaha menyiapkan pengajian saya di sini. InsyaAllah saya sentiasa memanjatkan doa agar dipermudahkan urusan saya di sini untuk mengapai segulung ijazah dalam masa yang ditetapkan oleh pihak penaja.Rentetan perjalanan saya meningkatkan kemajuan dalam akademik penuh liku kerana beberapa percubaan sebelum ini mengalami kegagalan. Saya berharap percubaan kali ini yang diberi keistimewaan dengan biasiswa KPm akan membuahkan hasil walaupun bidang yang diberi amat berat dan bukan daripada minat dan kebolehan saya. InsyaAllah saya akan terus memikul amanah ini dan doa sentiasa dipanjatkan untuk diberikan keberhasilannya.

Saya di sini turut merakamkan ucapan tahniah terhadap rakan blog bahasa melayu iaitu Encik Ghalib dan Cikgu Ivi Marlinda kerana dilantik sebagai guru Cemerlang bahasa Melayu ( DG 48 ). Begitu juga kepada Puan Haniza Jabar kerana dilantik sebagai penolong kanan mengantikan Encik Ghalib .tahniah buat kalian semua.Semoga pelantikan ini akan menyemarakkan lagi sumbangsih anda terhadap dunia pendidikan negara umumnya dan PPD petaling Perdana khasnya. Tahniah sekali lagi.

Labels:

Wednesday, February 10, 2010

komentar

Alahai Sekolah berprestasi tinggi !

Saya tidak teruja dengan pengumuman penuh berprestej Menteri Pendidikan terhadap sekolah yang terpilih dalam kelompok Sekolah berprestasi tinggi. Awal-awal lagi gambaran sekolah yang terpilih berada dalam kerangka pemikiran saya. Apabila senarainya dikeluarkan saya hanya tersenyum dan berfikir dalam dunia yang diwarnai politik sudah pasti elemen politik akan mewarnai apa-apa sahaja keputusan kerajaan.

Jika kita renung sejenak, boleh dihitung dengan jari sekolah pinggir bandar apatah lagi luar bandar yang layak dinamakan sekolah berprestasi tinggi ini.Nama-nama sekolah bandar dalam lingkungan pengaruh politik , tokoh usahawan , peneraju GLC dan mereka yang berpengaruh terus mendapat tempat di hati KPM. Cuba bayangkan dalam lingkungan tidak sampai 50 km terdapat sekolah dalam senarai ini seperti SMK (P) Sri Aman , SK Bukit Damansara dan SK Taman Tun Dr. Ismail.Jumlah ini belum dihitung lagi dengan beberapa sekolah lain di lembah kelang.

Mungkin ada yang akan menyatakan sekolah ini terpilih kerena menepati kreteria yang ditetapkan. Betul ,memang betul menepati kreteria tetapi cuba fikir sejenak tentang Barisan PIBG sekolahnya , kemampuan kewangan , sponsor dan penglibatan tokoh politik dan aspek kekeluargan sendiri yang terdiri daripada golongan atasan. Hal ini ditambah pula dengan kemudahan pelajar sendiri yang dilengkapi pelbagai kemudahan hasil kewangan yang mereka miliki. Tanpa membuat kajian pun kita tahu mudah bagi mereka meraih gelaran itu di samping pelajar yang diasak dengan kemudahan pembelajaran seperti tuisyen dan sebagainya.

Bagaimana pula sekolah di kampung , pedalaman Pantai timur Semenanjung , Sabah dan Sarawak .Sudah tentu kemudahan infrastruktur , pelajarnya , kekangan kewangan dan kepelbagaian permasalahan lain disebabkan landskap rakyat biasa yang menjadi tulang belakang persekitaran mereka. Mungkinkah mereka mampu bersaing untuk mendapat gelaran ini.

Apa yang paling menjengkelkan KPM selalu memberi jawapan sekolah terpilih layak kerana memenuhi kreteria yang ditetapkan dan diulang ribuan kali. Situasi inlah yang disebut sebagai berada dalam pusaran ganas kesusahan.Sekolah seperti ini sudah mampu memenuhi kreteria malahan ratusan kretaria lain juga mampu dicapai.Hal ini ditambah dengan imbuhan hampir jutaan ringgit akan dihampurkan oleh kerajaan sudah tentu membesarkan lagi jurang ini.

Saya sedih kerana KPM sengaja atau menutup mata terhadap permasalahan ini. Rakyat Malaysia sekarang tidak sama dengan rakyat Zaman Tunku dan Zaman Tun Hussien mereka melihat dengan mata hati sesuatu dasar. Rakyat tiada kuasa untuk mempertikaikan tetapi berkuasa menterjemahkan rasa tidak puas hati ini dalam bentuk lain. Situasi inilah yang dilihat sebagai kurang popularnya kerajaan di mata rakyat.

Apa yang baik sepatutnya KPM membuat dua kategori sekolah ini iaitu bandar dan luar bandar termasuk sekolah di Sabah dan Sarawak dengan instrumen penilaian yang berbeza. Sekiranya hal penambahbaikan ini dibuat sudah tentu rasa ketidakpuasan hati dapat dilenyapkan. Tepuk dada tanya selera.

Labels:

Sunday, August 30, 2009

Selamat Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara ke-52

Salam kemerdekaan buat semua warga Malaysia. Alhamdulilah negara kita Malaysia telah melangkah masuk usia ke-52 kemerdekaan negara. Hal ini bermakna melalui kematangan usia kemerdekaan sudah tentu kita sebagai warga negara tercinta ini perlu mempertahankan kelangsungan negara dan dapat pula mengisi kemerdekaan melalui cara dan sumbangan tersendiri .

Pada usia ke-52 ini negara berdepan dengan pelbagai cabaran hebat yang tentunya menuntut kewarasan fikiran seluruh rakyat Malaysia khasnya dalam mengemudikan negara. Silap percaturan akan memberi impak yang besar terhadap kestabilan negara.Janganlah kita terlalu mengikut emosi dan perasaan secara keterlaluan bak kata peribahasa ikut rasa binasa ikut hati mati.
Pendokong-pendokong parti-parti politik arus perdana harus juga memikirkan secara waras ketika dalam usaha memperjuangkan label perjuangan parti masing-masing di pentas siasah. Saya berpendapat tidak salah sekiranya berlaku perbezan pandangan dan komentar yang bertepatan melalui ketajaman pemikiran bahkan akan melahirkan kejituan sesuatu pendekatan melalui kajian dan dapatan dan seterusnya dilontarkan kepada rakyat untuk dibuat penilaian. Cuma dalam keghairahan dan ketaksuban itu sudah tentu negara perlu menjadi pertimbangan utama.

Sebarang tindak tanduk yang dilakukan jangan sama sekali membelakangkan keharmonian dan keselamatan negara. Oleh itu sempena kemerdekaan kali ini diharapkan semua pihak menjadikan kestabilan negara sebagai pacuan utama dalam membentuk perancangan dan objektif masing-masing sama ada secara individu mahupun mewakili kapasiti sebagai Badan politik ,NGO dan sebagainya

Sebaliknya bagi warga mendidik , kita patut bersyukur dengan apa yang kita peroleh sebelum melontarkan puluhan perasaan ketidakpuasan hati terhadap kerjaya kita sebagai guru.Cuba kita bandingkan dan bermuhasabah kerjaya kita berbanding dengan kawan-kawan lain dalam dunia luar perguruan , kita masih berada dalam keadaan yang baik .Sikap bersyukur harus menjadi budaya semua guru di Malaysia selain beramanah dalam menjalankan tugas dengan penuh kesungguhan.

Buat anak didik dan murid-murid di seluruh Malaysia tingkatkan jati diri dan bersemangat kental sebagai bangsa Malaysia yang merdeka.Anda semua memikul galas yang besar untuk mengisi kemerdekaan negara dan memperkasakan Malaysia sebagai sebuah negara yang bermaruah dan berdaulat. Di bahu anda semua terletaknya cabaran dan langkah pertama mewajibkan diri mendapat kecemerlangan akademik , kematangan sahsiah dan teguh pegangan agama. InsyaAllah anda akan berjaya di dunia dan di akhirat.

Buat Seluruh warga Malaysia sekali lagi selamat menyambut kemerdekaan negara kali ke-52.

Salam kemerdekaan.....

MERDEKA!...MERDEKA!...MERDEKA !......MERDEKA !....MERDEKA !..MERDEKA !.....MERDEKA

Wednesday, May 20, 2009

Komentar



PENGHAYATAAN PEPERIKSAAN
Saya rasa terpanggil untuk mencoret sesuatu di ruangan ini apabila melihat sikap dan gelagat para pelajar sekolah yang tidak begitu menghayati roh dan jiwa pada perkatan peperiksaan itu sendiri.Para pelajar melihat musim peperiksaan atau peperiksaan itu sendiri sebagai satu perkara yang tidak menerjah kerisauan dan tidak mempunyai perasaan takut untuk menghadapinya.Mod atau perasaan itu tidak menjadi satu perkara yang mempengaruhi tindak tanduk yang menjurus kepada kelakuan deman peperiksaan.

Situasi ini amat merisaukan saya sebagai seorang guru yang pernah bersekolah dan melalui musim-musim peperiksaan seperti ini.Suatu ketika dulu semasa zaman persekolahan baik peringkat menengah mahupun peringkat universiti rasa amat teruja apabila melalui musim-musim peperiksaan sebegini bahkan walaupun tidak menelaah atau berbincang bersama rakan sekelas, buku tidak pernah terlepas daripada genggaman. Saya masih ingat pada peringkat universiti pun persediaan tetap ada sekurang-kurang mencari nota dan berkunjung secara tetap dan menjadi teman setia kedai fotokopi bagi menyediakan bahan bacaan untuk peperiksaan. Apa yang pasti sama ada aktif atau pasifnya kelakuan membaca itu tetapi tidak lengkap sekiranya tidak mempunyai nota untuk dibaca.

Sebaliknya anak didik kesayangan kita tidak menunjukkan kesungguhan menghadapi peperiksaan utama peringkat sekolah seperti peperiksaan Pertengahan Tahun sekarang yang saya kira turut diadakan di seluruh negara. Virus peperiksaan itu tidak begitu menyerlah dan pelajar berada dalam keadaan biasa dan selesa tanpa adanya buku di tangan , berbual-bual semasa peperiksaan belum berlangsung dan tidak memanfaatkan masa sepenuhnya semasa menjawab peperiksaan. Apa yang menyedihkan sebahagian besar masa digunakan untuk tidur apabila berhadapan dengan soalan yang sukar. Keazaman dan semangat untuk mencuba langsung tiada dan mengaku kalah tanpa menentang cabaran-cabaran itu.

Apa yang pasti fenomena ini memastikan tanggungjawab tersedia untuk pendidik seperti saya bagi mewujudkan iklim penghayataan peperiksaan sekurang-kurang satu atau dua tahun daripada sekarang.Saya kira hal ini memerlukan saya membuat kajian tindakan bagi mengubah budaya ini.

Wasssalam.







Labels:

Tuesday, May 19, 2009

TIPS PENULISAN

Kaedah Pengembangan Isi Karangan TFFP

Saya memperkenalkan satu kaedah mengembangkan isi karangan. Kaedah ini saya namakan TFFP, dan merupakan satu komponen dalam kaedah mengarang menggunakan formula yang saya perkenalkan beberapa tahun yang lalu. Yang berikut ialah penerangan ringkas tentang penggunaan kaedah TFFP.
Makalah ini memperkenalkan satu kaedah menulis perenggan isi yang senang diikuti dan digunakan apabila menjawab soalan karangan jenis pendapat, perbincangan, atau fakta, mahupun jenis-jenis lain yang bercorak deskriptif. Malah jika dikuasai dengan baik, kaedah ini juga dapat membantu calon menulis karangan-karangan jenis lain termasuk karangan jenis syarahan, perbahasan, keperihalan, dan seumpamanya. Kaedah ini dinamakan Kaedah TFFP. Kaedah ini agak berlainan daripada panduan-panduan yang pernah diketengahkan sebelum ini. Hal ini demikian kerana penulisan ayat isi bagi sesuatu perenggan dipecahkan kepada empat bahagian iaitu:

i. Ayat Topik ( T )
ii. Huraian Frasa 1 (F1)
iii. Huraian Frasa 2 (F2)
iv. Penegasan/Rumusan Perenggan. (P)

Ayat Topik (T)

Ayat Topik ialah ayat untuk mengetengahkan isi bagi karangan. Isi pula ialah idea utama atau perkara penting yang merujuk kepada soalan karangan yang ditulis. Pelajar dinasihati menggarisi kata kunci dalam soalan sebelum menyenaraikan isi karangan. Amalan ini akan mengelakkan karangan yang ditulis itu terkeluar daripada tajuk perbincangan.

Ayat topik digalakkan untuk ditulis dengan memasukkan dua unsur penting dalam dua frasa. Frasa pertama menjadi fokus isi. Frasa kedua pula merupakan pelengkap kepada fokus isi berkenaan. Ayat isi yang hanya menyertakan fokus sahaja tidak begitu baik kerana tidak lengkap dan tidak menampakkan kematangan fikiran orang yang menulisnya. Cuba bandingkan kedua-dua ayat yang yang berikut:

1(a) Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen.
1(b) Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan.
2(a) Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas.
2(b) Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.
3(a) Antara kesan pelaksanaan sekolah satu sesi adalah pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk belajar.
3(b) Antara kesan pelaksanaan sekolah satu sesi adalah pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk belajar di bawah penyeliaan guru-guru.

Ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) lebih mantap kerana lebih jelas dan lengkap. Semasa membuat huraian, ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) memberi ruang yang lebih bagi pelajar menunjukkan kematangan fikiran mereka. Justeru pelajar mempunyai lebih banyak idea untuk dikembangkan. Perkara ini akan membantu pelajar untuk mengatasi masalah ketidakcukupan jumlah perkataan dalam karangan.

Biasanya ayat topik atau isi utama ialah isi karangan yang telah ditetapkan oleh pelajar semasa membuat draf atau perancangan menulis karangan. Cara inilah yang biasanya diajar oleh guru-guru di sekolah. Amalan merancang atau menulis isi terlebih dahulu sebelum menulis adalah baik kerana mengelakkan pelajar daripada lupa. Jadi, pelajar dinasihati supaya mengamalkan cara ini setiap kali menulis karangan. Yang penting, guru-guru perlu melatih pelajar supaya menulis ayat topik yang terdiri daripada dua frasa yang boleh dihuraikan dengan lebih panjang.

Frasa 1 dan Frasa 2

Seperti yang disarankan, ayat topik hendaklah terdiri daripada dua frasa. Contohnya, cuba lihat ayat-ayat topik yang berikut:
i. Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan.
ii. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap orang yang mencuri air.
iii. Langkah lain yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi krisis bekalan air adalah dengan mengawal penebangan hutan di kawasan tadahan.
iv. Seterusnya, krisis bekalan air juga dapat ditangani dengan menggantikan saluran paip yang rosak dengan paip yang tahan lebih lama.

Jika diperhatikan ayat-ayat topik yang disenaraikan, setiap ayat dibina dengan menggunakan dua frasa yang utama dan boleh dihuraikan secara berasingan. Ayat (i) misalnya, Frasa 1 (F1) ialah melaksanakan kempen. Frasa 2 (F2) pula ialah yang lebih berkesan.

Dalam ayat (ii) F1 ialah mengambil tindakan tegas, dan F2 pula ialah orang yang mencuri air. Semasa membuat huraian, pelajar boleh menghuraikan kedua-dua frasa tersebut secara berasingan sebelum merumuskan kedua-dua dalam satu atau dua ayat yang lengkap. Contoh-contoh boleh disertakan semasa menghuraikan kedua-dua frasa berkenaan. Begitu juga halnya dengan isi-isi yang lain. Perkara penting yang perlu dikuasai oleh pelajar ialah cara untuk membahagikan ayat isi mereka kepada frasa-frasa yang dapat dihuraikan dengan sistematik.

Penegasan/Rumusan Perenggan (P)

Setiap perenggan wajar disimpulkan dengan rumusan bagi perenggan berkenaan. Penanda wacana yang disesuaikan wajar digunakan bagi menunjukkan bahawa perenggan tersebut telah ditutup dengan baik. Contohnya:
i. Jadi, dengan kempen yang lebih berkesan, krisis air yang berlaku sekarang dapat diatasi dengan lebih cepat.
ii. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa wajar bertindak tegas terhadap orang yang mencuri air untuk memastikan krisis air dapat ditangani secepat yang mungkin.
iii. Justeru, penebangan hutan di kawasan tadahan perlu dikawal agar krisis air tidak terus mengancam kehidupan masyarakat.
iv. Jadi, penggantian saluran paip yang lama perlu disegerakan agar krisis air yang berlaku sekarang tidak berterusan.

Menulis perenggan isi

Setelah mengenal pasti perkara-perkara tersebut, maka pelajar boleh menulis perenggan mengikut kaedah yang dicadangkan iaitu kaedah T, F1, F2, dan P. Dalam setiap perenggan, keempat-empat perkara tersebut perlu dititikberatkan supaya perenggan yang ditulis itu lengkap dan menarik. Selain itu calon dapat menulis dalam jumlah perkataan yang lebih banyak.
Ayat (i) dapat dihuraikan dengan mudah apabila pelajar menghuraikannya mengikut frasa yang telah ditetapkan. Frasa 1 boleh dihuraikan seperti yang berikut:

Huraian F1 (melaksanakan kempen)

Kempen merupakan cara yang paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pelbagai media boleh digunakan oleh menyalurkan maklumat tentang kepentingan amalan penjimatan air. Contohnya, surat khabar, radio, dan televisyen ialah media yang sentiasa dekat dengan masyarakat. Selain itu kempen secara langsung dari rumah ke rumah juga wajar dilaksanakan.

Huraian F2 (yang lebih berkesan)

Selama ini kempen yang dilaksanakan kurang berkesan kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang berkenaan melaksanakannya tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Kini tibalah masanya pihak-pihak nyang terbabit bertindak dengan lebih agresif agar kempen penjimatan air mencapai matlamat yang diharapkan.

Kedua-dua huraian ini dicantumkan dalam satu perenggan bersama-sama ayat isi dan juga rumusan perenggan. Maka perenggan tersebut akan menjadi sebuah perenggan yang lengkap seperti yang berikut.

Satu langkah untuk menjimatkan air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan. Kempen merupakan cara yang paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pelbagai media boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat tentang kepentingan amalan penjimatan air. Contohnya, surat khabar, radio, dan televisyen ialah media yang sentiasa dekat dengan masyarakat. Selain itu kempen secara langsung dari rumah ke rumah juga wajar dilaksanakan. Selama ini kempen yang dilaksanakan kurang berkesan kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang berkenaan melaksanakannya tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Kini, tibalah masanya pihak-pihak yang terbabit bertindak dengan lebih agresif agar kempen penjimatan air mencapai matlamat yang diharapkan. Jadi, dengan kempen yang lebih berkesan, krisis air yang berlaku sekarang dapat diatasi dengan lebih cepat. (110 perkataan)

Dengan berdasarkan penjelasan yang diberi, pelajar-pelajar boleh mencuba untuk membahagikan ayat-ayat topik yang berikut kepada F1 dan F2. Selepas itu cuba huraikan setiap frasa itu dengan jelas dan cantumkan huraian-huraian itu supaya menjadi perenggan isi yang lengkap.

a. Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sisa toksik oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
b. Aktiviti kokurikulum mendidik pelajar supaya menjadi lebih berdisiplin.
c. Salah satu cara untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya adalah dengan menguatkuasakan undang-undang yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang ingkar.

Perenggan contoh

Ayat topik : Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.

F1 : tidak ada tindakan yang tegas
F2 : terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.

Huraian lengkap

Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat. Selama ini tindakan yang dilaksanakan bersifat mengikut musim. Pegawai yang diamanahkan untuk bertindak memiliki sikap tidak ubah seperti pahat dengan pemukul. Tindakan hanya dilakukan dalam tempoh yang terhad. Selain itu tindakan yang dijalankan juga tidak begitu tegas dan hanya untuk memenuhi rutin kerja pegawai-pegawai yang terbabit. Ada juga unsur-unsur penyelewengan yang berlaku sehingga menyebabkan gejala ini tidak dapat diatasi. Satu bentuk tindakan yang menyeluruh patut dikuatkuasakan terhadap semua pihak yang menyebabkan gejala ini berlaku. Tindakan patut dikenakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang bahan-bahan cetak rompak. Ketiga-tiga golongan ini merupakan penyebab utama berlaku gejala tersebut. Tindakan terhadap satu pihak sahaja tidak akan meninggalkan kesan yang diharapkan. Oleh yang demikian satu bentuk tindakan yang lebih tegas patut dilaksanakan meliputi semua pihak yang terbabit dalam gejala ini. (140 perkataan)

Rasionalnya, jika satu perenggan isi mengandungi lebih daripada 100 perkataan, karangan calon sudah pasti dapat memenuhi kehendak jumlah perkataan seperti dalam soalan. Oleh itu calon layak mendapat markah yang tinggi dengan syarat isi-isi tersebut adalah mantap, bahasa baik dan bervariasi, menepati tajuk, dan dipersembahkan dengan baik. Selain itu contoh-contoh dapat diberi dengan lebih banyak iaitu semasa menghuraikan kedua-dua frasa dalam ayat topik secara berasingan. Maka cara ini dapat membantu calon mengatasi beberapa kelemahan dalam menulis karangan, terutama dari aspek jumlah perkataan.

Sumber : drghazali.

Labels:

IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung

Perlembagaan negara
Kami mengamalkanPrinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

pembelajaran dan pengajaran

FRASA MENARIK UNTUK DISELITKAN SEBAGAI FRASA INDAH DALAM PENULISAN

-mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang
-mendukung kebenaran yang kita sepakati
-mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni
-mengambil langkah sederap
-menghirup udara hasil kemerdekaan
-mengikut acuan sendiri
-mengundang kontroversi
-menjadi cerucuk utama pembangunan
-menjulang negara ke puncak jagat
-menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi
-menyambut gamitan menara impian
-menyebabkan imej negara tercalar
-menyediakan kursus dan latihan yang relevan
-menyembunyikan masalah utama masyarakat
-mereka lebih cenderung kepada keseronokan dan berpeleseran
-mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan
-milineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi
-muafakat merupakan inti kepada perpaduan
-negara kita akan bersih daripada unsur sosial yang tidak sihat
-nilai keinsanan yang syumul
-nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat
-pandangan pro dan kontra yang dipaparkan
-pelbagai cabaran yang bakal menghambat
-pelbagai masalah sosial sedang menghinggapi masyarakat
-pembentukan masyarakat sakinah
-pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini
-pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario ini
-perlu dibaja kembali
-perubahan yang diharap masih belum menjelma
-petanda kehancuran generasi
-pewujudan masyarakat madani-propaganda negatif terhadap negara kita dapat ditepis

-kita perlu mengorak langkah
-kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini
-komitmen menyeluruh agensi yang terlibat
-kongkongan yang selama ini dianggap membelenggu
-Masalahnya, kita mahu memberi pendapat tetapi tidak rela dikritik
-makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kekeluargaan
-mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu
-manifestasi kesanggupan bangsa
-manusia bukanlah `haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan jiwa
-masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan
-masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi
-masalah sosial dan susila yang meruncing
-masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit
-masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan
-melangkah dengan seribu kekuatan
-melontarkan soalan yang cukup penting
-melupakan cita-cita yang lebih luhur
-membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu
-membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
-membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah
-membetulkan ketidaktepatan fakta
-membimbing mereka memenuhi impian
-membina impian masa depan yang lebih gemilang
-membongkar kepincangan
-membuktikan sensitiviti, kepekaan dan keprihatinan mereka
-mempengaruhi minda generasi muda
-mempertahankan perasaan saling bersefahaman
-mempertingkat dan memperteguh kefahaman
-mempraktikkan elemen tolak ansur
-memudaratkan kesejahteraan rakyat
-menabur bakti kepada mereka yang kurang beruntung
-menaburkan nilai kebendaan yang tidak bertahan lama
-menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak
-menampilkan wajah baru yang disulami tekad
-menangkis tuduhan yang tidak berasas
-mencapai tahap yang mencemaskan
-mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini
-mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya
-mendapat perhatian dan liputan media massa
-mendepani masa depan yang tidak menentu

Sumber : Minda Sastera Bahasa.

Labels: