Tuesday, May 19, 2009

TIPS PENULISAN

Kaedah Pengembangan Isi Karangan TFFP

Saya memperkenalkan satu kaedah mengembangkan isi karangan. Kaedah ini saya namakan TFFP, dan merupakan satu komponen dalam kaedah mengarang menggunakan formula yang saya perkenalkan beberapa tahun yang lalu. Yang berikut ialah penerangan ringkas tentang penggunaan kaedah TFFP.
Makalah ini memperkenalkan satu kaedah menulis perenggan isi yang senang diikuti dan digunakan apabila menjawab soalan karangan jenis pendapat, perbincangan, atau fakta, mahupun jenis-jenis lain yang bercorak deskriptif. Malah jika dikuasai dengan baik, kaedah ini juga dapat membantu calon menulis karangan-karangan jenis lain termasuk karangan jenis syarahan, perbahasan, keperihalan, dan seumpamanya. Kaedah ini dinamakan Kaedah TFFP. Kaedah ini agak berlainan daripada panduan-panduan yang pernah diketengahkan sebelum ini. Hal ini demikian kerana penulisan ayat isi bagi sesuatu perenggan dipecahkan kepada empat bahagian iaitu:

i. Ayat Topik ( T )
ii. Huraian Frasa 1 (F1)
iii. Huraian Frasa 2 (F2)
iv. Penegasan/Rumusan Perenggan. (P)

Ayat Topik (T)

Ayat Topik ialah ayat untuk mengetengahkan isi bagi karangan. Isi pula ialah idea utama atau perkara penting yang merujuk kepada soalan karangan yang ditulis. Pelajar dinasihati menggarisi kata kunci dalam soalan sebelum menyenaraikan isi karangan. Amalan ini akan mengelakkan karangan yang ditulis itu terkeluar daripada tajuk perbincangan.

Ayat topik digalakkan untuk ditulis dengan memasukkan dua unsur penting dalam dua frasa. Frasa pertama menjadi fokus isi. Frasa kedua pula merupakan pelengkap kepada fokus isi berkenaan. Ayat isi yang hanya menyertakan fokus sahaja tidak begitu baik kerana tidak lengkap dan tidak menampakkan kematangan fikiran orang yang menulisnya. Cuba bandingkan kedua-dua ayat yang yang berikut:

1(a) Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen.
1(b) Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan.
2(a) Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas.
2(b) Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.
3(a) Antara kesan pelaksanaan sekolah satu sesi adalah pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk belajar.
3(b) Antara kesan pelaksanaan sekolah satu sesi adalah pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk belajar di bawah penyeliaan guru-guru.

Ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) lebih mantap kerana lebih jelas dan lengkap. Semasa membuat huraian, ayat 1(b), 2(b), dan 3(b) memberi ruang yang lebih bagi pelajar menunjukkan kematangan fikiran mereka. Justeru pelajar mempunyai lebih banyak idea untuk dikembangkan. Perkara ini akan membantu pelajar untuk mengatasi masalah ketidakcukupan jumlah perkataan dalam karangan.

Biasanya ayat topik atau isi utama ialah isi karangan yang telah ditetapkan oleh pelajar semasa membuat draf atau perancangan menulis karangan. Cara inilah yang biasanya diajar oleh guru-guru di sekolah. Amalan merancang atau menulis isi terlebih dahulu sebelum menulis adalah baik kerana mengelakkan pelajar daripada lupa. Jadi, pelajar dinasihati supaya mengamalkan cara ini setiap kali menulis karangan. Yang penting, guru-guru perlu melatih pelajar supaya menulis ayat topik yang terdiri daripada dua frasa yang boleh dihuraikan dengan lebih panjang.

Frasa 1 dan Frasa 2

Seperti yang disarankan, ayat topik hendaklah terdiri daripada dua frasa. Contohnya, cuba lihat ayat-ayat topik yang berikut:
i. Satu langkah untuk mengatasi krisis air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan.
ii. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap orang yang mencuri air.
iii. Langkah lain yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi krisis bekalan air adalah dengan mengawal penebangan hutan di kawasan tadahan.
iv. Seterusnya, krisis bekalan air juga dapat ditangani dengan menggantikan saluran paip yang rosak dengan paip yang tahan lebih lama.

Jika diperhatikan ayat-ayat topik yang disenaraikan, setiap ayat dibina dengan menggunakan dua frasa yang utama dan boleh dihuraikan secara berasingan. Ayat (i) misalnya, Frasa 1 (F1) ialah melaksanakan kempen. Frasa 2 (F2) pula ialah yang lebih berkesan.

Dalam ayat (ii) F1 ialah mengambil tindakan tegas, dan F2 pula ialah orang yang mencuri air. Semasa membuat huraian, pelajar boleh menghuraikan kedua-dua frasa tersebut secara berasingan sebelum merumuskan kedua-dua dalam satu atau dua ayat yang lengkap. Contoh-contoh boleh disertakan semasa menghuraikan kedua-dua frasa berkenaan. Begitu juga halnya dengan isi-isi yang lain. Perkara penting yang perlu dikuasai oleh pelajar ialah cara untuk membahagikan ayat isi mereka kepada frasa-frasa yang dapat dihuraikan dengan sistematik.

Penegasan/Rumusan Perenggan (P)

Setiap perenggan wajar disimpulkan dengan rumusan bagi perenggan berkenaan. Penanda wacana yang disesuaikan wajar digunakan bagi menunjukkan bahawa perenggan tersebut telah ditutup dengan baik. Contohnya:
i. Jadi, dengan kempen yang lebih berkesan, krisis air yang berlaku sekarang dapat diatasi dengan lebih cepat.
ii. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa wajar bertindak tegas terhadap orang yang mencuri air untuk memastikan krisis air dapat ditangani secepat yang mungkin.
iii. Justeru, penebangan hutan di kawasan tadahan perlu dikawal agar krisis air tidak terus mengancam kehidupan masyarakat.
iv. Jadi, penggantian saluran paip yang lama perlu disegerakan agar krisis air yang berlaku sekarang tidak berterusan.

Menulis perenggan isi

Setelah mengenal pasti perkara-perkara tersebut, maka pelajar boleh menulis perenggan mengikut kaedah yang dicadangkan iaitu kaedah T, F1, F2, dan P. Dalam setiap perenggan, keempat-empat perkara tersebut perlu dititikberatkan supaya perenggan yang ditulis itu lengkap dan menarik. Selain itu calon dapat menulis dalam jumlah perkataan yang lebih banyak.
Ayat (i) dapat dihuraikan dengan mudah apabila pelajar menghuraikannya mengikut frasa yang telah ditetapkan. Frasa 1 boleh dihuraikan seperti yang berikut:

Huraian F1 (melaksanakan kempen)

Kempen merupakan cara yang paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pelbagai media boleh digunakan oleh menyalurkan maklumat tentang kepentingan amalan penjimatan air. Contohnya, surat khabar, radio, dan televisyen ialah media yang sentiasa dekat dengan masyarakat. Selain itu kempen secara langsung dari rumah ke rumah juga wajar dilaksanakan.

Huraian F2 (yang lebih berkesan)

Selama ini kempen yang dilaksanakan kurang berkesan kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang berkenaan melaksanakannya tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Kini tibalah masanya pihak-pihak nyang terbabit bertindak dengan lebih agresif agar kempen penjimatan air mencapai matlamat yang diharapkan.

Kedua-dua huraian ini dicantumkan dalam satu perenggan bersama-sama ayat isi dan juga rumusan perenggan. Maka perenggan tersebut akan menjadi sebuah perenggan yang lengkap seperti yang berikut.

Satu langkah untuk menjimatkan air adalah dengan melaksanakan kempen yang lebih berkesan. Kempen merupakan cara yang paling mudah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pelbagai media boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat tentang kepentingan amalan penjimatan air. Contohnya, surat khabar, radio, dan televisyen ialah media yang sentiasa dekat dengan masyarakat. Selain itu kempen secara langsung dari rumah ke rumah juga wajar dilaksanakan. Selama ini kempen yang dilaksanakan kurang berkesan kerana tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Pihak yang berkenaan melaksanakannya tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga. Kini, tibalah masanya pihak-pihak yang terbabit bertindak dengan lebih agresif agar kempen penjimatan air mencapai matlamat yang diharapkan. Jadi, dengan kempen yang lebih berkesan, krisis air yang berlaku sekarang dapat diatasi dengan lebih cepat. (110 perkataan)

Dengan berdasarkan penjelasan yang diberi, pelajar-pelajar boleh mencuba untuk membahagikan ayat-ayat topik yang berikut kepada F1 dan F2. Selepas itu cuba huraikan setiap frasa itu dengan jelas dan cantumkan huraian-huraian itu supaya menjadi perenggan isi yang lengkap.

a. Antara punca pencemaran sungai ialah pembuangan sisa toksik oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
b. Aktiviti kokurikulum mendidik pelajar supaya menjadi lebih berdisiplin.
c. Salah satu cara untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya adalah dengan menguatkuasakan undang-undang yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang ingkar.

Perenggan contoh

Ayat topik : Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.

F1 : tidak ada tindakan yang tegas
F2 : terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat.

Huraian lengkap

Punca gejala cetak rompak terus berleluasa adalah disebabkan tidak ada tindakan yang tegas dilaksanakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang yang terlibat. Selama ini tindakan yang dilaksanakan bersifat mengikut musim. Pegawai yang diamanahkan untuk bertindak memiliki sikap tidak ubah seperti pahat dengan pemukul. Tindakan hanya dilakukan dalam tempoh yang terhad. Selain itu tindakan yang dijalankan juga tidak begitu tegas dan hanya untuk memenuhi rutin kerja pegawai-pegawai yang terbabit. Ada juga unsur-unsur penyelewengan yang berlaku sehingga menyebabkan gejala ini tidak dapat diatasi. Satu bentuk tindakan yang menyeluruh patut dikuatkuasakan terhadap semua pihak yang menyebabkan gejala ini berlaku. Tindakan patut dikenakan terhadap pembeli, penjual, dan pengilang bahan-bahan cetak rompak. Ketiga-tiga golongan ini merupakan penyebab utama berlaku gejala tersebut. Tindakan terhadap satu pihak sahaja tidak akan meninggalkan kesan yang diharapkan. Oleh yang demikian satu bentuk tindakan yang lebih tegas patut dilaksanakan meliputi semua pihak yang terbabit dalam gejala ini. (140 perkataan)

Rasionalnya, jika satu perenggan isi mengandungi lebih daripada 100 perkataan, karangan calon sudah pasti dapat memenuhi kehendak jumlah perkataan seperti dalam soalan. Oleh itu calon layak mendapat markah yang tinggi dengan syarat isi-isi tersebut adalah mantap, bahasa baik dan bervariasi, menepati tajuk, dan dipersembahkan dengan baik. Selain itu contoh-contoh dapat diberi dengan lebih banyak iaitu semasa menghuraikan kedua-dua frasa dalam ayat topik secara berasingan. Maka cara ini dapat membantu calon mengatasi beberapa kelemahan dalam menulis karangan, terutama dari aspek jumlah perkataan.

Sumber : drghazali.

Labels:

pembelajaran dan pengajaran

FRASA MENARIK UNTUK DISELITKAN SEBAGAI FRASA INDAH DALAM PENULISAN

-mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang
-mendukung kebenaran yang kita sepakati
-mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni
-mengambil langkah sederap
-menghirup udara hasil kemerdekaan
-mengikut acuan sendiri
-mengundang kontroversi
-menjadi cerucuk utama pembangunan
-menjulang negara ke puncak jagat
-menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi
-menyambut gamitan menara impian
-menyebabkan imej negara tercalar
-menyediakan kursus dan latihan yang relevan
-menyembunyikan masalah utama masyarakat
-mereka lebih cenderung kepada keseronokan dan berpeleseran
-mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan
-milineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi
-muafakat merupakan inti kepada perpaduan
-negara kita akan bersih daripada unsur sosial yang tidak sihat
-nilai keinsanan yang syumul
-nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat
-pandangan pro dan kontra yang dipaparkan
-pelbagai cabaran yang bakal menghambat
-pelbagai masalah sosial sedang menghinggapi masyarakat
-pembentukan masyarakat sakinah
-pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini
-pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario ini
-perlu dibaja kembali
-perubahan yang diharap masih belum menjelma
-petanda kehancuran generasi
-pewujudan masyarakat madani-propaganda negatif terhadap negara kita dapat ditepis

-kita perlu mengorak langkah
-kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini
-komitmen menyeluruh agensi yang terlibat
-kongkongan yang selama ini dianggap membelenggu
-Masalahnya, kita mahu memberi pendapat tetapi tidak rela dikritik
-makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kekeluargaan
-mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu
-manifestasi kesanggupan bangsa
-manusia bukanlah `haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan jiwa
-masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan
-masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi
-masalah sosial dan susila yang meruncing
-masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit
-masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan
-melangkah dengan seribu kekuatan
-melontarkan soalan yang cukup penting
-melupakan cita-cita yang lebih luhur
-membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu
-membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
-membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah
-membetulkan ketidaktepatan fakta
-membimbing mereka memenuhi impian
-membina impian masa depan yang lebih gemilang
-membongkar kepincangan
-membuktikan sensitiviti, kepekaan dan keprihatinan mereka
-mempengaruhi minda generasi muda
-mempertahankan perasaan saling bersefahaman
-mempertingkat dan memperteguh kefahaman
-mempraktikkan elemen tolak ansur
-memudaratkan kesejahteraan rakyat
-menabur bakti kepada mereka yang kurang beruntung
-menaburkan nilai kebendaan yang tidak bertahan lama
-menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak
-menampilkan wajah baru yang disulami tekad
-menangkis tuduhan yang tidak berasas
-mencapai tahap yang mencemaskan
-mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini
-mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya
-mendapat perhatian dan liputan media massa
-mendepani masa depan yang tidak menentu

Sumber : Minda Sastera Bahasa.

Labels:

Thursday, May 14, 2009

Panduan

Tugas Guru

Tugas guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti berikut;

  • Mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dan boleh mengajarmata
    pelajaran yang telah ditetapkan untuknya
  • Melengkapkan segala butiran yang diperlukan dalam Buku Persediaan Mengajar dan
    menyerahkan kepada Guru Besar / Pengetua pada bila-bila masa yang
    diperlukannya.
  • Mengambil tahu akan
    perubahan yang berlaku dalam sukatan pelajaran dan format
    soalan.
  • Menyampaikan bahan-bahan pelajaran dengan menggunakan kaedah yang paling berkesan.
  • Menyediakan rancangan pelajaran masing-masing dan merekodkan pengajaran dalam Buku Rekod Mengajar.
  • Merancang kerja-kerja rumah bagi pelajar dengan secukupnya dan memastikan pelaksanaannya berkesan.
  • Memeriksa buku-buku latihan pelajar dan menghantar buku-buku latihan tersebut kepada Guru Besar / Pengetua apabila dikehendaki untuk berbuat demikian.
  • Mengadakan ujian bulanan
    dan merekodkan markah ke dalam Buku Rekod
    Pengajar.
  • Menyediakan soalan-soalan
    peperiksaan dan memeriksa jawapan-jawapan mengikut skema yang telah ditentukan dan memberi markah peperiksaan kepada guru-guru kelas.
  • Menganalisis keputusan semua
    ujian bulanan dan peperiksaan sekolah dan awam bagi mata pelajaran yang diajar.
  • Mengambil berat terhadap kemajuan dan pencapaian para pelajarnya.
  • Menanam semangat
    kepimpinan, kesedaran sivik dan akhlak yang baik dan mulia di kalangan para pelajarnya.
  • Mengadakan kelas-kelas tambahan dan pemulihan bagi para pelajar yang
    lemah.
  • Menghadiri kursus-kursus tertentu yang dikendalikan oleh sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Menghadiri mesyuarat mesyuarat yang diadakan oleh Ketua Panitia.
  • Mengawasi ujian dan peperiksaan yang diadakan dengan penuh perhatian untuk mengelakkan penyelewengan.
  • Menilai pencapaian akademik pelajar dan mengesan segala kelemahan dan kekuatan bagi tujuan untuk meningkatkan lagi prestasi pengajaran dan
    pembelajaran.
  • Melaksanakan tugas-tugas lain yang yang diarahkan oleh Guru Besar atau Pengetua dari semasa ke semasa.
  • Lain-lain yang berkaitan
Sumber : Cikgu Ramlah

Labels:

Panduan

Peranan guru

Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya.

Prinsip utamanya seorang guru mesti faham bahwa tugas mengajar dan mendidik serta meneladan adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad iaitu menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan. Kerja mengajar pula adalah sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas.

Dalam Islam tugas guru dikelaskan sebagai:
Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran

Seorang guru sentiasa berusaha meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi. Guru yang perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji, tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya. Guru yang berpekerti mulia seharusnya menerima setiap pelajar dengan baik dan bersedia membantunya.

Guru sebagai pendidik perlu mempunyai iltizam yang lebih untuk melaksanakan aktiviti bagi mencapai aspirasi-aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang baru, guru harus lebih bersedia untuk melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran baru bagi melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Guru yang berpandangan futuristik akan sentiasa menokok tambah ilmunya dengan membaca dan menghadiri seminar dan bengkel. Dia sentiasa menyedari perkembangan baru dalam arena pendidikan dan dapat memainkan peranan sebagai seorang inovator.

Guru hendaklah sentiasa menekankan unsur perpaduan, keprihatinan, ikram, berbudi bahasa, berkeupayaan bersaing dan berdikari dalam kegiatan pengajaran dan pembelajarannya. Unsur warisan kebudayaan negara hendaklah diserapkan ke dalam di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan harus mirip ke arah perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu yang merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Unsur bersatu padu hendaklah sentiasa ditekankan oleh guru dalam segala kegiatan yang dikendalikannya dan cuba memastikan pelajar-pelajar pelbagai kaum sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Unsur demokratik juga perlu disemai dalam proses pengajaran dan pembelajarannya kecuali dalam hal-hal tertentu pelajar boleh diberi peluang untuk membuat keputusan.

Guru sewajarnya menitikberatkan nilai-nilai disiplin dalam pengajaran dan pembelajaran seperti ketepatan masa, bersopan santun, bertimbang rasa, tolong menolong, prihatin dan bekerjasama di kalangan pelajarnya yang mana amalan ini akan membolehkan para pelajar membesar menjadi ahli-ahli masyarakat yang bersifat penyayang dan berdisiplin.

Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan kerjaya mereka.

Jadi menyediakan diri menjadi guru yang profesionalisma perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan globalisasi.

Oleh itu selaku guru sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu juga amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak buat akan mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana guru yang dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan segelintir murid yang lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru yang tidak lesu tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak membezakan murid atau kelas yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang cerdas.
Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap dan perbuatan guru sendiri dan menyangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah sahaja. Kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri guru itu sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu.
Guru tidak mungkin menjadi efisyen jika mempunyai ciri guru yang "powerless" , tidak ada prinsip, buta mata hati, tahu tapi tidak mahu tahu atau seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya. Setiap diri kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang sebenar guru
Sumber : Cikgu Ramlah

Labels:

Panduan

Pengajaran Efektif

Pengajaran yang efektif ialah satu sistem aktiviti yang dapat meningkatkan lagi hasil pembelajaran terakhir yang dikehendaki dalam suasana yang sihat, demokratik dan bersemangat. Hasil pembelajaran terakhir yang dimaksudkan ialah perubahan tingkah laku murid akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baru. Ia merangkumi perkembangan seseorang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Ciri-ciri Guru Yang Efektif

Pengajaran yang efektif dihasilkan oleh guru yang efektif. Menurut satu kajian oleh Daveid G. Ryans (1959), guru yang efektif ialah guru yang mempunyai ciri-ciri berikut:
- Bersikap adil dan tidak pilih kasih.
- Bertimbang rasa dan baik hati.
- Bertanggungjawab dan suka menolong individu yang lain.
- Tenang dan stabil emosinya.
- Mudah dihampiri, berpatutan dan berupaya berjenaka.
- Berpersonaliti dinamik, iaitu menarik, tangkas dan kerap kali menghidupkan suasana bilik darjah.
- Mempunyai kecerdasan tinggi yang membolehkannya memahami serta mengajar sesuatu dari sudut pandangan yang luas.
- Mempunyai imaginasi tinggi yang membolehkannya memberikan pelbagai jenis contoh yang dapat membantu murid-murid memahami sesuatu konsep dengan mudah serta cepat.
- Bersuara lantang dan bertingkah laku beradab.
- Bersabar. Kesabaran penting ketika guru membimbing murid-murid yang lemah dan nakal.
- Bersikap terbuka, jujur dan ikhlas. Murid-murid akan mempercayai guru seperti ini. Dengan itu murid lebih sedia berkongsi masalah dengan guru.
- Bersikap tegas. Guru yang tegas dapat mewujudkan disiplin yang baik. Ini membolehkan pengajaran-pengajaran berjalan dengan licin.
- Mementingkan ketepatan masa. Guru yang menepati masa ketika masuk ke bilik darjah dapat memulangkan tugasan murid akan dihormati murid-muridnya. Amalan seperti ini juga merupakan teladan yang baik bagi murid-murid.
- Berdedikasi dan rajin. Guru yang berdedikasi kerap kali menyempurnakan tugasannya dengan baik. Dia sentiasa bertujuan untuk menghasilkan pembelajaran murid yang maksima.
- Sedia memberi galakan dan pujian. Sikap seperti ini akan mendorongkan lagi murid-murid untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pembelajaran mereka.
Sumber : Cikgu Ramlah.

Labels: