Monday, February 23, 2009

Aktiviti Penulisan

PENANDA WACANA DALAM KARANGAN

PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

· Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …
· Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
· Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.
· Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
· Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
· Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN

· Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
· Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
· Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
· Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….
· Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas

PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN

· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan
· Hal ini penting dalam
· Hal ini serupa dengan
· Hal yang serupa berlaku apabila
· Ini disebabkan
· Ini membuktikan bahawa
· Ini menggambarkan bahawa
· Ini secara tidak langsung akan
· Ini semua meninggalkan kesan kerana
· Ini tentu sekali membuatkan
· Jadi kita perlu
· Jadi kita hendaklah
· Keadaan ini tentunya
· Lantaran itu sehingga kini
· Kesemua ini menyumbang kepada
· Kita mengakui hakikat bahawa
· Kita sering menonton di kaca televisyen
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar
· Memandangkan keadaan yang sedemikian
· Namun sejak kebelakangan ini
· Oleh itu, bolehlah dikatakan
· Secara logiknya masa yang
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
· Keadaan ini seharusnya boleh
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
· Kendatipun demikian, kita masih
· Yang paling nyata ialah
· Yang perlu kita pastikan ialah

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK

· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH

· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.

Sumber:
Cikgu Zulkarnain (SMK Sacred Heart Sibu) di http://forum.engkabang.net/index.php/topic,18218.0.html


Labels:

Info Tatabahasa

POLA AYAT DASAR DAN FRASA



Pola ayat dasar merupakan sumber kepada pembentukan ayat-ayat dalam Bahasa Melayu. Ayat dasar juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat inti. Terdapat empat pola ayat dasar berdasarkan unsur-unsur binaan ayat:



FN+FN ; FN+FK ; FN+FA ; FN+FS


FRASA

Frasa ialah unit tatabahasa yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya satu atau dua perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih.

Frasa menjadisubjek atau predikat dalam binaan ayat serta menjadi konstituen atau binaan kepada klausa.

Frasa terbahagi kepada empat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama

Dalam setiap frasa ada perkataan yang yang dikenali sebagai inti frasa, iaitu perkataan yang paling penting dalam frasa. Contoh (berdasarkan Pola FN+FN) :

Kakak saya seorang pramugari = Kakak pramugari

Di sini ‘kakak’ dan ‘pramugari’ adalah inti frasa kepada kedua-dua pola tersebut.

Jenis perkataan yang menjadi inti frasa menentukan sama ada ia menjadi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama.

1) Frasa Nama (FN)

Frasa nama yang terbentuk daripada sederetan perkataan mempunyai dua jenis hubungan antara perkatan-perkataan ini :

a) inti & penerang

Contoh : Guru sekolah menengah itu sedang menasihati murid-muridnya (FN+FK)

Guru à inti ; sekolah menengah itu à penerang

b) inti & inti.

Contoh : Ibu bapa perlu mendidik anak (FN+FK)

Ibu à inti ; bapa à inti.

Dalam binaan frasa nama, penyusunan setiap konstituen amat pentng untuk menentukan sama ada frasa nama itu digunakan dengan betul atau tidak. Oleh itu, peraturan Hukum D-M, penggunaan kata bilangan serta panggilan dan penerang mestilah sesuai dalam frasa nama.

Hukum D-M ialah Hukum Diterang (D) dan Hukum Menerang (M). Dalam frasa nama, unsur inti yang berada pada kedudukan pertama adalah unsur diterangkan, dan pada kedudukan kedua merupakan unsur menerangkan.

Contoh : Guru bahasa ; Guru à inti / (D)

bahasa à penerang /(M)

Hukum D-M mempunyai beberapa kekecualian, antaranya ialah jawatan tertentu yang biasa digunakan seperti Perdana Menteri (sepatutnya Menteri Perdana) dan naib presiden (sepatutnya presiden naib).

2) Frasa Kerja (FK)

Frasa kerja terbina daripada satu perkataan sahaja (iaitu terdiri daripada kata kerja tak transitif) atau sederetan perkataan yang menjadi unsur predikat dalam ayat. Binaan frasa kerja terbahagi kepada dua :

a) Frasa kerja yang tidak mengadungi obejk dan tidak memerlukan kata nama sebagai penyambung untuk melengkapkannya. Kata kerja di sini ialah kata kerja tak transitif.

Contoh : Adik menangis (FN+FK)

b) Frasa kerja yang mengandungi objek selepas kata kerja untuk melengkapkan frasa ini. Kata kerja di sini ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek yang terdiri daripada kata nama. Objek berkenaan boleh diikuti oleh penerang.

Contoh : Saya menangkap burung gagak di hutan. (FN+FK) ; di sini :

burung gagak à objek

di hutan à penerang

3) Frasa Adjektif (FA)

Frasa adjektif boleh terbina daripada satu perkataan atau sederetan perkataan yang mengandungi kata adjektif sebagai inti. Frasa adjektif adalah unsur predikat dalam binaan ayat atau sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat, yang hadir selepas kata kerja. Manakala sebagai kata penerang, kata adjektif hadir selepas kata nama.

Binaa frasa adjektif yang terdiri daripada satu perkataan sahaja adalah seperti malas, muram, dan kosong. Frasa adjektif juga boleh dibahagikan kepada dua golongan :

a) Kombinasi dua kata adjektif yang menekankan beberapa unsur:

- keserasian makna. Contoh : cantik molek, penat lelah

- makna berlawanan. Contoh : baik buruk, kecil besar

- keindahan bunyi ritma. Contoh : lemah longlai, kusut masai

b) Binaan frasa adjektif yang terdiri daripada kata adjektif sebagai inti dan kata nama sebagai penerang. Ia membawa dua maksud

- keserupaan. Contoh : merah darah , hijau daun

- kiasan. Contoh : panjang tangan, besar kepala

Dalam frasa adjektif, kata penguat boleh hadir dalam beberapa keadaan:

a) Di hadapan : paling degil, amat bijak

b) Di belakang : murah sekali, cepat benar

c) Secara bebas : amat cantik, cantik amat.

d) Secara berderetan : sungguh berani sekali, belum cerdik lagi

Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif hadir sebagai predikat, sebagai kata keterangan selepas kata kerja dan penerang selepas frasa nama. Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif boleh mengalami susunan songsang. Contoh :

Rumah Ani amat besar sekali à Amat besar sekali rumah Ani

4) Frasa Sendi Nama (FS)

Frasa sendi nama ialah binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Dalam binaan ayat biasa, frasa sendi nama menjadi predikat dalam ayat.

Frasa sendi nama boleh dibentuk melalui empat cara :

a) Sendi nama dan frasa nama. Contoh : di pasar

b) Sendi nama, kata nama arah dan frasa nama. Contoh : di tepi pasar

c) Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan ayat komplemen. Contoh : ke dalam hutan untuk menangkap rusa.

(binaan ketiga ini memperlihatkan kita bahawa unsur kata nama arah dan ayat komplemen merupakan unsur pilihan)

d) Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan frasa keterangan. Contoh : di selatan negeri China pada tiap-tiap bulan.

(binaan keempat ini memperlihatkan unsur keterangan bersifat pilihan)

PANDUAN MENJAWAB SOALAN BINA AYAT

PANDUAN BINA AYAT

1. Boleh bina ayat tunggal.
2. Boleh bina ayat majmuk.
3. Boleh bina ayat aktif.
4. Boleh bina ayat pasif.
5. Boleh bina ayat cakap ajuk tetapi perlu mematuhi peraturan
tanda baca (tanda petik).

Pelajar dilarang :
1. Menambah atau menggugurkan imbuhan.
2. Jadikan perkataan diuji sebagai kata nama khas.
3. Jadikan perkataan diuji sebagai peribahasa.
4. Membina ayat yang tidak jelas/ tidak difahami maksud.


Contoh soalan dan jawaban:


(i) Suka duka.

Ketika bertugas di kawasan pedalaman itu, saya terpaksa menempuh pelbagai suka duka sebelum saya berjaya membawa kejayaan untuk sekolah dan penduduk di kawasan itu. ( Ayat Majmuk )


(ii) Baik buruk.

Kejadian kesan buruk yang tidak disedari atau tidak dilaporkan akan hanya memberikan gambaran yang tidak tepat tentang baik buruk sesuatu ubat itu. ( Ayat Majmuk )


(iii) Penat lelah

Segala penat lelah beliau terbayar apabila beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan itu. ( Ayat Majmuk )


(iv) Melayari laman web

Pelajar-pelajar digalakkan supaya melayari laman web Kementerian Pngajian Tinggi untuk mendapatkan maklumat tentang kemasukan ke Institsui Pengajian Tinggi Awam (IPTA). ( Ayat Majmuk )


(v) Pembangunan mesra alam

Kerajaan akan memastikan bahawa setiap pemaju perumahan mestilah mengutamakan pembangunan mesra alam untuk mengelakkan pencemaran dan kejadian tanah runtuh yang semakin berleluasa.

( Ayat Majmuk )


(vi) Semangat setia kawan

Walaupun kita terpaksa bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan itu, semangat setia kawan dan persahabatan perlulah dipelihara.

( Ayat Majmuk )


KESAN AYAT TIDAK GRAMATIS

Soalan 2 (a), 2(b), 2(c) dan 2(d).

Kesilapan calon ketika menjawab soalan pemahaman.
1. Isi jawaban dalam bentuk nota.
2. Ayat tidak lengkap kerana tiada subjek.

Sebab-sebab berlakunya kesilapan :
1. Pelajar degil dan cuai walaupun telah diberi ingatan.
2. Tidak belajar merancang masa untuk menjawab soalan.
3. Terikut-ikut dengan gaya penulisan dalam buku kerja pelajar.

Kesan kesilapan:
Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Nyatakan bukti-bukti tersebut.
KK : Nyatakan.

Jawaban contoh :
-Pembabitan Malaysia bermula pada awal tahun 1980-an.
-Melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas
-Pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas.

Isi betul - 3
Ayat tidak gramatis
Markah : 2
Pelajar hilang 1 markah.

Contoh soalan 2(a)(ii) SPM 2008.

Jawaban contoh :
- Persediaan dari segi fizikal supaya tubuh badan saya cukup sihat untuk menjalankan tugas sebagai angkasawan.

- Cari maklumat yang banyak berkaitan bidang angkasa lepas daripada internet, buku ilmiah mahu pun media massa supaya pengetahuan saya cukup mantap dalam bidang ini.

- Persediaan mental supaya sedia bersaing dan sanggup berkorban demi menjayakan tugas sebagai angkasawan.

Isi betul : 4 ( 2 isi dan 2 huraian )
Ayat tidak gramatis
Markah : 3
Pelajar hilang 1 markah.

Andaian :
Pelajar yang sama biasanya akan mengulangi setiap jawaban dengan cara memberi isi berbentuk nota ringkas. Pelajar mungkin akan kehilangan antara 6 hingga 8 markah untuk soalan 2(a) hingga 2(d) jika diandaikan pelajar ini dapat memberi isi dan huraian yang tepat tetapi ayat tidak gramatis.

Maka :
1. Jawab dalam bentuk ayat yang gramatis.
2. Ayat gramatis mempunyai subjek.
3. Subjek jawaban diperoleh daripada predikat soalan.
4. Gandingkan predikat soalan dengan isi jawaban lengkap.
5. Ayat gramatis boleh terdiri daripada ayat tunggal atau ayat
majmuk.






PANDUAN MENJAWAB SOALAN RUMUSAN 2008.

Panduan Menjawab Soalan Rumusan.

Pengenalan:
1. Baca dengan teliti arahan soalan iaitu isi tersurat dan isi tersirat.
2. Nyatakan tema keseluruhan petikan rumusan atau beri perkataan yang mempunyai maksud
serupa dengan arahan soalan (tukar kata kunci soalan).
3. Tugasan isi tersirat TIDAK PERLU dimasukkan sebagai pengenalan.

Arahan soalan :
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas.

Contoh jawaban :
1. Menyatakan tema rumusan.
Petikan membincangkan kepentingan negara meneroka bidang angkasa lepas.

2. Menukar kata kunci isi tersurat.
Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas kepada kelebihan/ kebaikan/ manfaat.

ISI TERSURAT :
Panduan Menjawa
b:

1. Isi tersurat diambil daripada isi petikan.
2. Satu isi tersurat boleh digabungkan dengan isi tersurat lain dalam bentuk ayat
majmuk.
3. Boleh memberi antara dua hingga enam isi tersurat.
4. Ingat formula isi tersurat+ isi tersirat (6+2,5+3,4+4,3+5,2+6).
5. Huraian dan contoh tidak perlu dimasukkan.

Contoh jawaban ( 6 isi tersurat )
Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas ialah Malaysia diakui antara negara yang memiliki sistem komunikasi yang terbaik di dunia, memberi impak yang besar kepada negara dalam bidang angkasa lepas serta dapat menjalin kerjasama lebih erat dengan negara yang sudah maju dalam bidang tersebut dan dapat mencontohi cara mereka bekerja. Sistem komunikasi negara juga terus berkembang maju dan dapat melahirkan lebih banyak angkasawan.

ISI TERSIRAT :
Panduan Menjawab :

1. Isi tersirat tiada dalam petikan.
2. Pelajar perlu kemukakan idea berdasarkan pembacaan meluas sebelum ini.
3. Isi tersirat boleh digabungkan dengan isi tersirat lain.

Contoh jawaban :
Cara menarik minat masyarakat dalam bidang ini adalah dengan cara menyiarkan artikel berkaitan bidang angkasa lepas di televisyen serta mewujudkan bidang pembelajaran mengenai angkasa lepas di sekolah.

Kesimpulan :
Panduan Menjawab:

1. Kesimpulan tidak boleh mengulang isi tersurat atau isi tersirat.
2. Kesimpulan terdiri daripada pihak terlibat, cadangan dan tujuan cadangan.
3. Kesimpulan ditulis dalam satu ayat lengkap.

Contoh jawaban :

Kesimpulannya, usaha-usaha untuk meneroka bidang angkasa lepas ini perlu disokong oleh semua pihak agar hasrat menjadi negara maju akan tercapai.

ULASAN SOALAN NOVEL SPM 2008 (N)

Soalan 4(a)

Bahagian permulaan sebuah novel memainkan peranan yang penting kepada pembaca untuk meneruskan pembacaan.

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda.

************************************************************************************

Arahan utama soalan :
1. Bahagian permulaan novel
2. Menentukan pembaca meneruskan pembacaan novel
3. Dua sebab bahagian tersebut menarik minat pembaca.

Kesilapan calon :
1. Menulis sinopsis dua bahagian permulaan yang menarik minatnya membaca.
2. Menyatakan watak dan perwatakan pada bahagian permulaan secara umum.
3. Mengambil contoh bukan pada bahagian pengenalan.
4. Tidak menyatakan sebab bahagian permulaan yang menarik.

Alasan yang sesuai :
1. Unsur kejutan yang digunakan oleh pengarang.
Contoh: Robert tiba-tiba ditangkap oleh sekumpulan orang sakai. Pembaca
tertanya-tanya nasib Robert seterusnya.
2. Unsur pemerihalan perwatakan watak utama iaitu Ratu Bongsu yang digambarkan hebat.
Pembaca ingin mengetahui bukti kehebatan Ratu Bongsu mempertahankan puncak Gunung
Tahan daripada diambil oleh penjajah.
3. Pengarang memperlihatkan pelbagai dugaan besar/ cabaran kepada penjajah untuk
mendapatkan puncak Gunung Tahan. Misalnya hujan turun dengan lebat disamping
mereka kehilangan penunjuk jalan dan pembantu yang mengangkat barang. Pembaca
tertanya-tanya bagaimanakah ikhtiar mereka untuk menunaikan tanggungjawab
terhadap negara asal mereka.


Soalan 4(b)
Bandingkan, iaitu dari segi persamaan dan perbezaan, satu latar masyarakat dalam dua buah novel yang anda pelajari.

************************************************************************************
Arahan utama soalan :
1. Persamaan latar masyarakat dalam dua buah novel.
2. Perbezaan latar masyarakat dalam dua buah novel.

Kesilapan calon :
1. Menyenaraikan seberapa banyak latar masyarakat dan tidak menyatakan sama ada
latar tersebut merupakan perbezaan atau persamaan.
2. Membezakan dan menyamakan dengan cara memberi huraian umum tanpa menyebut watak
dan perwatakan yang releven dengan latar tersebut.

Contoh isi jawaban :

1. Persamaan latar masyarakat : Masyarakat yang tolong-menolong.
DHP : Syed Fikri bersama-sama penduduk kampung bantu-membantu membina shelter
untuk melindungkan diri daripada serangan bom tentera Jepun.
PGT : Orang sakai menolong Perempuan Tua yang ditinggalkan keseorangan di dalam
hutan ketika mahu melahirkan anak.

2. Perbezaan latar masyarakat : Pegangan agama
DHP : Longgarnya pegangan agama dalam kalangan masyarakat. Budin digambarkan
sering mabuk ketika pulang ke rumah. Rosiah sanggup menggadai maruah kepada
tentera Jepun sebagai balasan untuk mendapatkan bekalan makanan.
PGT : Perempuan Tua sebaliknya kuat berpegang teguh kepada ajaran agama Islam
walaupun tinggal dengan masyarakat orang Sakai yang tidak mempunyai agama
bahkan Perempuan Tua turut mengajar agama Islam kepada beberapa orang
perempuan Sakai tersebut.

KATA KUNCI SOALAN PEMAHAMAN

Soalan 2(a): Pemahaman berdasarkan petikan rumusan.

(i) Berikan maksud rangkai kata memberikan impak.
KK : Berikan.

Jawaban contoh:
Maksud rangkai kata memberikan impak ialah mendatangkan kesan.


(ii) Pengarang mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas. Nyatakan bukti-bukti tersebut.
KK : Nyatakan.

Jawaban contoh :
Bukti yang menunjukkan penglibatan Malaysia dalam bidang penerokaan angkasa lepas ialah pembabitan Malaysia bermula pada awal tahun 1980-an. Negara juga telah melaksanakan program penghantaran angkasawan pertama ke angkasa lepas disamping pelancaran tiga buah satelit ke angkasa lepas.

(iii) Sebagai murid yang berwawasan, jelaskan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan supaya terpilih sebagai calon angkasawan pada masa akan datang.
(KK) - Sebagai murid berwawasan.
Jelaskan.

Jawaban contoh :
Sebagai murid berwawasan saya akan membuat persediaan dari segi fizikal supaya tubuh badan saya cukup sihat untuk menjalankan tugas sebagai angkasawan. Saya akan mencari maklumat yang banyak berkaitan bidang angkasa lepas daripada internet, buku ilmiah mahu pun media massa supaya pengetahuan saya cukup mantap dalam bidang ini. Saya juga perlu bersedia dari segi mental supaya sedia bersaing dan sanggup berkorban demi menjayakan tugas sebagai angkasawan.

Nota : Unsur keterangan dijelaskan selepas perkataan supaya. Biasakan menjawab soalan seperti ini dengan unsur keterangan.

Soalan 2 (b) : Pemahaman berdasarkan petikan cerpen, "Di Sisi Rinda"

(i) Berdasarkan petikan di atas, nyatakan masalah-masalah yang dihadapi oleh Jumari Jipan untuk menjaga Deliah.
(KK) - Nyatakan.

Jawaban contoh:
Masalah-masalah yang dihadapi oleh Jumari Jipan untuk menjaga Deliah ialah dia tidak dapat melayan Deliah di dalam botnya di tengah laut. Keadaan tempat Jumari Jipan bertugas iaitu di dalam bilik enjin yang pantas tidak sesuai untuk kanak-kanak seperti Deliah. Jumari Jipan juga bimbang akan keselamatan nyawa Deliah kerana botnya mungkin terkena bom yang dilemparkan oleh tentera Jepun.

(ii) Jelaskan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membela nasib kanak-kanak seperti Deliah.
(KK) - Jelaskan.

Jawaban contoh :
Untuk membela nasib kanak-kanak seperti Deliah, saya akan membantu menempatkannya di rumah anak yatim supaya Deliah mendapat perlindungan daripada bahaya. Disamping itu saya juga akan membantu mencari bantuan kewangan, pakaian dan makanan untuk Deliah supaya Deliah tidak menghadapi masalah keperluan harian. Saya juga boleh menjadikan Deliah sebagai anak angkat supaya Deliah mendapat kasih sayang yang secukupnya.

(iii) Berikan satu persoalan yang terdapat dalam petikan di atas dan dua persoalan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
(KK) - Berikan.


Jawaban contoh :
Satu persoalan yang terdapat dalam petikan ialah sifat tanggungjawab sesama insan iaitu Jumari Jipan berasa bertanggungjawab memelihara Deliah yang kehilangan seluruh ahli keluarga akibat peperangan. Persoalan pertama dalam keseluruhan cerpen ialah kepercayaan masyarakat kepada unsur-unsur magis iaitu Juamri Jipan dan Deliah percaya kepada kewujudan sebilah keris yang dinggap sakti. Persoalan lain daripada keseluruhan cerpen ialah kezaliman tentera Jepun iaitu tentera Jepun tidak mengira sasaran serangan sama ada orang awam seperti orang tua dan kanak-kanak ataupun sasaran tentera.

Nota:
Unsur keterangan selepas perkataan iaitu boleh ditiadakan kerana kata kunci soalan ialah berikan. Namun demikian unsur keterangan contoh patut diletakkan sebagai bahan jawaban untuk menguatkan isi.

Soalan 2(c) - Pemahaman berdasarkan petikan prosa klasik, "Peminangan Puteri Gunung Ledang"

(i) Berikan maksud rangkai kata kabullah tuan puteri akan kehendak raja itu.
(KK) - Berikan.

Jawaban contoh :
Maksud rangkai kata kabullah tuan puteri akan kehendak raja itu ialah Puteri Gunung Ledang memberi persetujuan untuk menerima peminangan sultan.

(ii) Apakah tindakan-tindakan Tun Mamat setelah mendengar kata-kata Dang Raya Rani?
(KK) - Apakah.

Jawaban contoh :
Setelah mendengar kata-kata Dang Raya Rani, Tun Mamat turun dari puncak Gunung Ledang untuk menemui Laksamana dan Sang Setia. Segala kata Puteri Gunung Ledang kemudian diceritakan kepada Laksamana dan Sang Setia.

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah Puteri Gunung Ledang memberikan syarat-syarat peminangan yang sukar untuk ditunaikan ?
(KK) Pada pendapat anda.
Mengapakah

Jawaban contoh :
Pada pendapat saya,Puteri Gunung Ledang memberikan syarat-syarat peminangan yang sukar untuk ditunaikan kerana Puteri Gunung Ledang ingin menolak pinangan sultan secara terhormat. Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat sedemikian untuk menguji kesungguhan raja Melaka yang ingin meminangnya.


Soalan 2(d): Pemahaman berdasarkan , "Pantun Lapan Kerat"

(i) Berikan maksud pandai-pandailah membawa diri.
(KK) Berikan.

Jawaban contoh:
Maksud pandai-pandailah membawa diri ialah kita perlu bijak berdikari.

(ii) Apakah yang wajar dilakukan oleh seseorang ketika berada di rantau orang ?
Kemukakan tiga pandangan anda.
(KK): Apakah
Kemukakan

Jawaban contoh:
Ketika berada di rantau orang kita perlu bersikap merendah diri, bercampur-gaul dengan masyarakat setempat disamping mempelajari bahasa dan budaya masyarakat di tempat kita berada.

(iii) Huraikan dua nilai kemanusiaan yang terdapat dalam puisi tersebut.
(KK): Huraikan.

Jawaban contoh:
Nilai kemanusiaan pertama dalam puisi di atas ialah bersukur. Kita wajib bersyukur terhadap segala nikmat yang Tuhan kurniakan kepada kita. Nilai kemanusiaan kedua ialah bwebudi bahasa. Kita perlu menunjukkan sifat berbudi bahasa dengan cara melayani tetamu dengan baik dan mempelawa mereka makan bersama-sama kita.

Dipetik daripada blog cikgu Razak bin Hassan.

Labels: