Sebagai permulaan kita akan membicarakan komponen penting dalam penulisan karangan. Jom! Kita teliti komponen tersebut.
CARA PENGOLAHAN ISI KARANGAN
Sesetengah pelajar beranggapan bahawa karangan mereka telah dikembangkan isinya apabila melihat perenggan yang ditulis mengandungi beberapa ayat. Tanpa disedari mereka kadang kala mencampuradukkan beberapa isi pokok dalam satu perenggan. Seharusnya satu perenggan isi hanya menghuraikan isi berkenaan sahaja bukannya perkara lain yang tidak mempunyai relevansi dengan perkara berkenaan.
Teliti contoh pengembangan isi di bawah yang dihuraikan secara mudah tetapi berkesan untuk menjelaskan perkara yang mahu disampaikan. Teknik ini agak mengikat idea pelajar, namun amat berkesan untuk memastikan pengembangan isi yang baik dan berkesan.
KESILAPAN DALAM PENGOLAHAN ISI KARANGAN
Mencampuradukkan isi dalam satu perenggan. Terdapat pelajar yang menulis perkara yang diketahui dan tidak menulis perkara yang dikehendaki dalam soalan. Misalnya soalan berkehendakkan faktor penyebab, pelajar memasukkan isi tentang kesan.
Tidak menuliskan contoh sebagai bukti huraian atau hujah yang disampaikan. Contoh dalam sesuatu huraian isi merupakan pengukuhan kepada isi yang mahu disampaikan.
Hanya memberikan tumpuan kepada satu aspek bagi soalan yang memerlukan huraian tentang beberapa perkara. Misalannya bagi soalan yang bertanyakan punca dan langkah, pelajar hanya memberikan punca tanpa memberikan perhatian terhadap langkah.
Soalan contoh 1
“Kejadian jenayah yang membabitkan remaja semakin bertambah sejak kebelakangan ini”.
Pada pendapat anda, siapakah yang bertanggungjawab menangani masalah ini.
Isi yang mahu disampaikan;
- Peranan ibu bapa mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak.
APA
Apakah isi pokok yang mahu disampaikan
Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.
MENGAPA
Mengapa boleh berlaku apa (isi pokok)
Hal ini disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka.
BAGAIMANA / KESAN DARIPADA APA
Bagaimanakah boleh berlaku apa (isi pokok)
Dengan demikian, ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja..
BUKTI / CONTOH
Apakah contoh yang dapat menunjukkan apa (isi pokok)
Misalnya, ibu bapa boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur negatif.
PENEGASAN / RUMUSAN ISI
Kesimpulan daripada isi – kembali kepada persoalan pokok.
Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, pembabitan remaja dalam kegiatan jenayah akan dapat dikurangkan..
Perenggan lengkap:
Ibu bapa merupakan pihak yang paling berkesan dalam usaha mengawal aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka. Hal ini disebabkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dan paling faham dengan aktiviti dan tingkah laku anak-anak mereka. Dengan demikian, ibu bapa dapat sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti yang dilakukan oleh remaja. Misalnya, ibu bapa boleh memberikan teguran dan nasihat sekiranya tingkah laku dan perbuatan anak-anak mereka mula menampakkan unsur-unsur negatif. Sekiranya semua ibu bapa memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, pembabitan remaja dalam kegiatan jenayah akan dapat dikurangkan..
sumber ; cikgu Azmi Misron
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home