Wednesday, April 15, 2009

Info Tatabahasa

- Memperhatikan atau memerhatikan

Sebelum terbitnya Kamus Dewan Edisi Keempat (Warna Merah), perkataan yang betul ialah `memperhatikan`. Perkataan ini terbit daripada kata akar `hati’. Daripada perkataan `hati`, timbulnya perkataan `memperhatikan` hasil daripada apitan `memper-…-kan`.

Namun, selepas wujudnya Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan `perhati’ telah dimasukkan sebagai satu entri yang tersendiri. Oleh hal yang demikian, perkataan `perhati’ ini telah menjadi kata dasar perkataan `memerhatikan’ melalui apitan `mem-….-kan’. Mengikut rumus PTKS, huruf `p’ akan lebur apabila bertemu dengan awalan `mem-` , untuk menghasilkan perkataan `memerhatikan`.

Kesimpulannya, kedua-dua perkataan tersebut betul dengan berdasarkan kata akarnya yang berbeza, iaitu `hati` dan `perhati`.

Memasifkan atau mempasifkan

1. Kata ganti nama tunjuk sememangnya boleh menjadi subjek dalam ayat. Keadaan ini terjadi apabila berlaku pengguguran frasa nama. Semasa di sekolah rendah, kanak-kanak selalu didedahkan ayat seperti `Ini rumah saya’, `Itu rumah Samad, dan sebagainya. Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat `Rumah ini rumah saya’, `Rumah itu rumah Samad’ dan sebagainya. Oleh itu, pendapat yang mengatakan bahawa kata ganti nama tunjuk `ini' tidak boleh menjadi subjek dalam ayat tidak tepat.

2. Pendapat cikgu tentang rumus tersebut memang benar. Rumus PTKS dikecualikan untuk kata pinjaman. Oleh sebab itu, perkataan `memasifkan’ salah. Yang betul ialah `mempasifkan’.


Teguran seperti ini amat diperlukan sesama guru. Sebagai guru juga, kita perlu kritis. Maksudnya ialah kita tidak sepatutnya menerima perkara yang ditulis atau dinyatakan oleh orang lain secara bulat-bulat. Kita mestilah menggunakan fikiran dan ilmu yang kita miliki untuk menilai kebenaran dan ketepatan sesuatu pendapat tersebut. Jika perkara seperti ini diambil berat, ilmu yang ada pada kita akan bertambah.

Sumber : Cikgu Ghalib Yunus

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home