Wednesday, April 15, 2009

pembelajaran dan pengajaran

Pelbagaikan Teknik P & P KOMSAS


Komponen Sastera yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran meliputi karya sastera dalam bentuk puisi, prosa tradisional, cerpen, dan novel. Hasil karya penulis yang berpengalaman dan juga yang baharu memang pelbagai bentuknya. Oleh hal yang demikian, guru-guru juga haruslah mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran komsas agar menjadi lebih menarik dan tidak membosankan murid. Namun demikian, terdapat beberapa masalah yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru yang mengajarkan Komsas ini, antaranya ialah masalah guru yang kurang mahir dengan komsas. Hal ini demikian kerana, mungkin guru tidak ada asas atau pengalaman dalam sastera dan juga masih baru dalam p&p Bahasa Melayu. Jadi sudah tentu guru-guru yang baru mengajarkan komsas kurang pengalaman untuk mempelbagaikan teknik pengajaran komsas kepada murid-murid.

Sebenarnya bahan komsas sudah digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sebelum ini, tetapi tidak ditetapkan sumber atau genrenya. Jadi, selepas komsas diperkenalkan, genrenya sudah jelas dan memudahkan guru dan murid untuk mempelajarinya. Bahan-bahan sastera seperti prosa tradisional, cerpen, drama, novel, puisi tradisional dan sajak boleh juga digunakan semasa guru membincangkan aspek tatabahasa dalam Bahasa Melayu. Sebagai contohnya, guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis-jenis kata, jenis-jenis ayat, dan kesalahan bahasa yang terdapat dalam bahan komsas tersebut. Oleh hal yang demikian, semasa mengajarkan komsas, guru-guru turut mengajarkan tatabahasa kepada murid secara tidak langsung.

Semasa mengajarkan sajak, guru-guru bolehlah meminta murid melagukan sajak tersebut mengikut melodi lagu yang diminati oleh mereka. Sebelum itu guru perlu mengarahkan murid berbincang dalam kumpulan untuk membincangkan melodi lagu yang diminati oleh mereka dan menyesuaikannya dengan sajak yang sedang dibincangkan. Selepas itu, guru bolehlah menyuruh murid menyampaikan persembahan di hadapan rakan-rakan di dalam kelas. Teknik ini biasanya digemari oleh murid-murid kerana kebanyakan murid pada hari memang suka menyanyi. Hal ini mungkin disebabkan oleh pengaruh media massa seperti televisyen yang banyak menganjurkan pertandingan nyanyian. Selain itu, guru juga boleh meminta murid membawa alat muzik seperti gitar atau juga muzik instrumental daripada MP3 untuk digunakan mereka semasa membuat persembahan agar persembahan mereka menjadi lebih menarik. Selepas persembahan itu, barulah guru membincangkan aspek yang hendak dikaji daripada bahan komsas itu.

Bagi puisi tradisional pula, guru perlu menggalakkan murid bersyair atau bergurindam di dalam kelas. Guru juga seharusnya menunjukkan contoh cara melagukan syair atau gurindam sekiranya mampu untuk berbuat demikian. Dan sekiranya guru tidak mampu untuk bersyair atau bergurindam, gunakanlah bahan bantu belajar seperti kaset, cakera padat atau MP3 tentang syair atau gurindam yang boleh didapati di pasaran atau dimuat turun daripada internet. Sekiranya puisi tradisional atau sajak ini dibaca seperti pembacaan biasa sudah tentu hal ini membosankan murid. Jadi, dengan melagukannya sudah tentu hal ini menimbulkan kelainan dan pastinya akan menarik perhatian murid serta mereka lebih mudah untuk menghayati maksud puisi atau sajak tersebut.

Bagi bahan komsas seperti cerpen, drama, prosa tradisional dan novel, guru-guru haruslah merancang aktiviti p & p yang menarik perhatian murid. Sebagai contohnya, guru-guru boleh menggunakan teknik lakonan, main peranan, simulasi dan kerusi panas semasa mengajarkan bahan komsas tersebut. Dengan cara ini, murid-murid tidak akan berasa bosan kerana aktiviti tersebut memang menarik perhatian mereka. Selain itu, guru-guru juga hendaklah mempelbagaikan hasil karya daripada sesuatu bahan karya itu. Sebagai contohnya, daripada bahan komsas seperti novel atau cerpen, guru boleh meminta pelajar menerangkan perwatakan, pengajaran atau nilai dari cerpen tersebut dalam bentuk sajak, pantun, atau syair yang dihasilkan oleh pelajar sendiri. Bahan komsas lain seperti sajak, syair atau gurindam juga boleh diadaptasi ke dalam bentuk tulisan yang lain contohnya, guru-guru boleh meminta murid untuk menulis karangan berformat cerpen (karya kreatif) berdasarkan bahan komsas tersebut. Guru-guru juga boleh meminta murid menulis karangan berformat ulasan daripada novel atau cerpen yang dibincangkan di dalam kelas.

Dalam kesempatan ini saya ingin memaparkan beberapa contoh hasil karya yang telah dihasilkan oleh murid-murid saya menerusi cerpen ‘Menatap Wajahnya’.

Sajak yang ditulis oleh murid saya ini diadaptasi daripada cerpen ‘Menatap Wajahnya’.


Muliati

Kelahiranmu di dunia
membawa sejuta kegembiraan
riang tawamu menggelikan hati
namun,
luka di hatimu masih berdarah
setiap kegembiraanmu diragut
tanpa mengira siapa dirimu.

Ketabahanmu jelas terpancar
onak duri kehidupan menjadi lali padamu
kesusahan hidup menjadi teman karibmu
tetapi kecekalanmu
tetap menjadi pendorong,
itulah
Muliati.

Nukilan;
Nor Asilah Binti Abdul Razak
4 ST1

Gurindam yang ditulis oleh murid saya ini diadaptasi daripada cerpen ‘Menatap Wajahnya’.

Gurindam Muliati

Pelbagai nilai boleh didapati,
Sikap tekun gigih Muliati.

Ketentuan Ilahi perlu dikuti,
Supaya hidup diberkati.

Hendaklah kita mengenang budi,
Jasa baik orang bersimpati.

Nukilan;
Noor Hanisah Binti Abdul Hamid
4 ST1

Saya berpendapat bahawa guru-guru yang sudah berpengalaman mengajarkan komsas sudah biasa menggunakan teknik tersebut, tetapi bagi guru-guru yang baharu mengajarkan komsas dan masih kurang pengalaman, diharapkan teknik yang dibincangkan tadi dapat membantu mereka. Hal ini demikian kerana, guru-guru perlulah kreatif untuk mencuba teknik atau cara yang menarik dan berkesan seperti yang dikatakan Cikgu Azizul Rahman Abdul Rahman melalui artikelnya yang terbaharu dalam Dewan Siswa keuaran April 2009, ‘Guru Kreatif Pelajar Aktif’. Jadi, guru-guru bolehlah mencuba teknik ini agar pengajaran dan pembelajaran komsas menjadi lebih menarik. Sekiraya pengajaran dan pembelajaran tersebut menarik, sudah pastilah objektif pelajaran akan tercapai dan isi kandungan pelajaran tersebut akan kekal lama dalam fikiran dan seterusnya terpahat dalam hati murid.

Sumber : Cikgu Khir Kassim

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home